WCT jadi Kontraktor Projek Rumusan Pemulihan Air Garam di Bahrain
10 December 2024
KUALA LUMPUR 10 DECEMBER 2024 - WCT Bahrain WLL (WCT Bahrain), anak syarikat WCT Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Tahliya Water Treatment WLL (TWT) dan Saudi Water Authority (SWA) bagi melaksanakan rumusan pemulihan air garam bagi loji penyahgaraman di Bahrain.
Inisiatif itu adalah untuk mengurangkan kesan alam sekitar proses penyahgaraman sambil menghasilkan produk sampingan yang berharga seperti natrium klorida dan mineral lain.
Projek itu sejajar dengan matlamat Bahrain untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan mengurangkan pergantungan kepada import, menyumbang kepada pembangunan wilayah yang mampan untuk memerangi kenaikan paras laut dan perubahan iklim.
Ketiga-tiga pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama itu sempena Persidangan Kelestarian Air Dipacu Inovasi anjuran SWA di Jeddah.
WCT dalam satu kenyataan berkata, di bawah MoU itu, WCT Bahrain akan bertindak sebagai kontraktor reka bentuk dan binaan, menyelia aspek kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) projek.
Ia berkata, TWT pula akan bertindak sebagai pemilik loji, bertanggungjawab untuk perbelanjaan modal (CAPEX) projek dan pengurusan operasi, manakala SWA akan menyediakan khidmat nasihat strategik dan teknikal, membimbing penggunaan teknologi pemulihan air garam.
Katanya, kerjasama itu bertujuan membangunkan dan melaksanakan teknologi perlombongan air garam termaju, meningkatkan kecekapan penyahgaraman, menjimatkan tenaga dan menghasilkan mineral berharga dalam negara untuk mengurangkan pergantungan import.
Loji penyahgaraman sedia ada Bahrain akan mendapat manfaat daripada kemajuan itu, sejajar dengan keutamaan kelestarian negara.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran untuk memacu penyelesaian penyahgaraman air yang inovatif, membina legasi WCT Bhd dalam menyampaikan projek ikonik, projek transformatif di Bahrain seperti Litar Antarabangsa Bahrain dan Pusat Bandar Bahrain.
Ia adalah sebahagian daripada komitmen WCT Bahrain terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dalam menyokong matlamat kelestarian global untuk mencapai pengurusan air yang lebih baik melalui inovasi teknologi.
Click
here to read original article from Berita Harian