WCT Kembali Raih Untung pada Suku Ketiga
26 November 2024
PETALING JAYA, 26 NOVEMBER 2024 - WCT Holdings Bhd (WCT) meraih keuntungan yang diagihkan kepada pemegang ekuiti sebanyak RM221 juta bagi tempoh sembilan bulan 2024, berbanding kerugian RM8 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, pendapatan syarikat pegangan pelaburan dengan perniagaan dalam kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan hartanah, serta pelaburan dan pengurusan pusat beli-belah serta hotel itu menyusut kepada RM1.28 bilion daripada RM1.33 bilion yang dicatatkan sebelumnya.
Bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2024, WCT mencatatkan keuntungan yang diagihkan kepada pemegang ekuiti sebanyak RM173 juta, berbanding kerugian RM14 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu, kebanyakannya disumbangkan oleh pengukuran semula kepentingan dalam entiti usaha sama, Segi Astana Sdn Bhd berjumlah RM184 juta.
Bagi suku dikaji, kumpulan meraih pendapatan sebanyak RM437 juta, susut berbanding RM497 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi mengikut bahagian pula menyaksikan kejuruteraan dan pembinaan WCT mencatatkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak RM35 juta bagi suku ketiga, naik daripada RM18 juta yang diraih suku sama tahun lalu, namun pendapatan menurun kepada RM700 juta berbanding RM928 juta, disebabkan kemajuan pembinaan yang lebih perlahan.
Bahagian pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan pendapatan dan keuntungan operasi masing-masing kepada RM384 juta (suku ketiga 2023: RM240 juta) dan RM37 juta (suku ketiga 2023: RM25 juta).
Peningkatan itu terutamanya disumbangkan oleh jualan dan pengebilan hartanah yang lebih tinggi sepanjang tempoh ini.
Setakat ini, jualan belum dibil WCT berjumlah RM1.05 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Datuk Lee Tuck Fook, berkata, walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar, segmen pembangunan hartanah menunjukkan ketahanan, terutama di Johor, di mana pembangunan infrastruktur yang pesat telah mendorong permintaan hartanah yang sihat.
"WCT mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan keuntungan operasi yang disumbangkan oleh ketiga-tiga teras perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Projek The Adison, yang menawarkan 1,920 apartmen servis dalam pembangunan seluas 27.52 hektar di W City Larkinton Johor Bahru berhampiran Kelab Golf dan Desa Johor, mencatatkan prestasi jualan yang kukuh.
Bahagian pelaburan dan pengurusan hartanah mencatatkan peningkatan pendapatan dan keuntungan operasi masing-masing kepada RM197 juta (suku ketiga 2023: RM158 juta) dan RM284 juta (suku ketiga 2023: RM76 juta).
Peningkatan pendapatan bagi suku ketiga WCT didorong oleh kenaikan kadar penghunian dan kadar sewa pusat beli-belah dan hotel kumpulan.
Antara hotel WCT yang menunjukkan peningkatan ketara dalam pendapatan ialah Hyatt Place Johor Bahru Paradigm Mall, Le Méridien Petaling Jaya, dan Première Hotel di Klang.
Mengenai prospek masa depan, Tuck Fook berkata, bahagian kejuruteraan dan pembinaan WCT akan terus memberi tumpuan kepada projek utama sambil meneruskan tender berkaitan infrastruktur dan bangunan di peringkat doemstik dan antarabangsa.
"Bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan & pengurusan hartanah optimis pertumbuhan ekonomi Malaysia, disokong peningkatan keyakinan pengguna dan perniagaan, yang mana akan mendorong permintaan terhadap tawaran hartanah dan perkhidmatan kami," katanya.
Click
here to read original article from Berita Harian